Maafkan saya
"Kenapa dengan saya ni?"
"Biarlah yang kotor-kotor dalam hati awak tu keluar.. dari terus memerap kat dalam. Lama-lama dapat barah hati pulak."
................
"Agaknya ni dosa-dosa yang dululah.. Mungkin saya ada cakap benda yang buat orang lain sakit hati. Allah baru cubit sikit kat mulut ni dah jadi gini."
"Tulah... Saya dah banyak kali cakap. Kalau kita nak bercakap tentang sesuatu kena fikir dulu. Stop. Fikir. Baru cakap. Sebab tu ada pepatah, 'Orang bijak cakap apa yg perlu dia cakap, orang bodoh cakap sebab dia nak bercakap' Dengan tujuan nak menunjukkan dia ada di situ"..
"Tapi, ada orang lain yang lebih lancang mulutnya, pedas cakapnya daripada saya.. Kiranya kalau saya bercakap ni ada tapisnya jugak. Banyak lagi orang yang saya kenal ni cakap lagi pedas."
"Mana awak tau orang yang cakap lebih lancang dari awak tu bermaksud lagi teruk dari awak?"
.............
"Abis kenapa badan saya detoks sampai macamni sekali? Orang lain yang lancang mulutnya tak agak-agak tu tak kena pulak macamni?.."
"Hah samalah macam orang yang mempersoalkan, aku tak pernah tinggal solat, puasa, zakat tapi kenapa nasib aku begini???...... Macam dalam Ayat-ayat Cintalah.. Masa Fahri kena masuk penjara apa yang banduan lagi sorang tu cakap kat dia? 'Tuhan sedang berbicara denganmu tentang sabar'. Nak menunjukkan, orang sebaik mana sekalipun dia berhak diuji. Ujian tu milik Allah. Macamana Dia nak uji itu kerja Allah la.. Semua orang berhak diuji. Tulah... tengok cerita tu kesimpulannya bukan pada kisah cintanya tapi tentang ujian Allah kepada manusia!"
"Astagfirullahal'aziimm"...
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Yang sakit itu saya. Beserta demam, selsema sejak Selasa selepas balik dari check up fathi. Sudah seminggu badan saya mengalami detoksifikasi hasil berpuasa. Tapi, punca utamanya adalah ketidaktentuan emosi saya. Akibatnya darah jadi tidak keruan. Badan mudah menjadi gatal-gatal yang maha dasyat! Timbul seperti gegata di permukaan kulit. Keseluruhan badan kena. Dan semalam adalah kemuncaknya. Jam 3.30 pagi saya membangunkan suami sambil menangis kesakitan kerana kegatalan di banyak tempat. Kali ini terasa bisa-bisa mencucuk-cucuk disertai panas dan gatal di bahagian leher, muka dan kepala membuatkan saya sudah terbayang seperti berada di wad gila! Tiba-tiba saya merasa muka saya bertukar wajah. Suami membuka lampu. 'Ya Allah!' Dia terkejut.
Saya bangun. Nak mandi. Buat bilasan dengan ais. Terpandang cermin. Saya menangis.. Kalau boleh, saya taknak suami saya tengok isterinya ni dah bertukar menjadi manusia hodoh! Bibir atas saya membengkak hingga terjuih ke atas dan ke depan. Pipi juga bengkak. Yang mengerikan saya ialah bibir saya yang bengkak itu saja herot ke bawah. Seperti mulut orang kena strok. Tapi masih boleh bercakap. Yang sebelahnya lagi tidap apa-apa.. Saya jadi takut dengan wajah ini. Subhanallah!
"Kenapa jadi macamni yang?" saya bertanya pada suami.
"Hati awak la.. Kulit kan cerita pasal hati. Benda lama yang disimpan dalam hati awak, Allah nak keluarkan"..
"Teruknya hati saya rupanya.."
Saya tidak mahu memandang ini dari sudut biologi tubuh (pada asasnya adalah disebabkan tidak menjaga pemakanan yang betul pada masa lalu, sekarang baru semua dibongkar) padahal ini perkara biasa terjadi apabila detoks berlaku dlm badan.
Dahulu, saya seorang yang lancang dan 'straight forward' dalam berkata. Di saat begini juga saya teringat akan dosa-dosa lampau. Dulu, mungkin saya banyak bercakap kerana saya punya banyak idea. Saya pernah bergaduh dengan Ketua Pengawas (semasa sekolah), dengan presiden IYC (semasa di UIA) dan mungkin ada lagi yang saya bergaduh tapi saya tak ingat. Kebanyakannya saya bergaduh disebabkan berbeza pendapat sahaja. Saya mengaku dahulu saya memang tidak matang langsung. Demi pendapat saya, saya 'melawan' semua orang tanpa hikmah. Begitu teruk saya dahulu. Termasuklah jalan-jalan yang telah silap saya pilih sewaktu muda remaja dahulu.. Hanya ikut perasaan. Kadangkala, cuba berfikiran rasional tapi ternyata tahap kematangan saya tetap rendah. Saya tersungkur di hadapan sejadah.
Sejak kawin barulah saya membina kematangan berperingkat. Adanya suami yang berbeza pandangan dan personaliti daripada saya menjadikan saya dapat 'melihat' sesuatu yang tidak saya lihat atau abaikan di satu pandangan kehidupan yang lain. Walaupun kadangkala perkataannya menyakitkan sewaktu menegur saya, tapi dengan cara begitu saja saya dapat melihat kembali diri (yang agak keras) dan memperbaiki diri dengan belajar sesuatu daripada dia.
Ramadhan ini saya terasa benar akan 'cubitan' Allah terhadap saya. Tarbiyyah Allah 'straight forward' kepada saya. Cubitan Allah sekecil ini membuatkan saya berubah 'wajah'? Insaf. Lebih tenang. Redha. Wajah sebenar manusia terletak pada hati.
Walaupun doa dan taubat masih belum mencukupi untuk membasuh segala dosa-dosa yang saya pernah lakukan. Kecil atau besar. Saya harus melalui 'hukuman kecil' ini.
Suami ajak ke klinik ambil antibiotik. Sesudah didiagnos oleh doktor peribadi saya, dia suruh saya makan antibiotik di sebelah pagi dan formula so02 di sebelah malam supaya cepat sikit surutnya bengkak di bibir ni. Tapi, saya tidak mahu. Biarlah saya lalui seadanya agar dosa-dosa silam saya boleh terhapus dengan cara begini.. Biarlah Ramadhan tahun ini dapat membuang segala titik hitam yang wujud di dalam hati ini.
Alhamdulillah. Saya hanya membuat bilasan mandi dengan ais setiap 2 jam dan minum formula. Cukup 24 jam (4pagi) pagi tadi bibir saya, wajah saya sudah kembali seperti sediakala.
Seperti tiada apa terjadi.. Gatal-gatal juga sudah surut tapi tetap ada lagi sikit. Demam, batuk dan selsema juga sudah hilang sepenuhnya.
Cerita ini saya tulis di sini sebagai catatan peribadi saya dan pedoman kepada yang lain. Sebagai manusia biasa kita pasti banyak kali melakukan dosa kecil dan dosa besar samada kita sengajakan atau tidak disengajakan kerana tiada siapa yang sempurna. Taubat adalah antidotnya. Dan ujian itu tetap di dalam keputusan Allah yang menentukan. UjianNya pasti datang dalam bermacam cara. Terpulang bagaimana anda mahu melihatnya. Saya berdoa agar ditetapkan hati dan iman saya apabila di'cubit' sekali lagi kelak. Semoga anda juga bertenang, sabar, ikhlas dan redha terhadap 'cubitan-cubitan' Allah terhadap hambaNya..
.
.
.
Semoga di akhir hayat saya, saya dapat mengembalikan semula hati ini seperti dalam keadaan asalnya kepada Tuan Yang Empunya Hati-hati Manusia..
Baarikillahummalana fi syahri ramadhan.
Post new comment