Budak-budak ni...

Situasi 1 :

"Hana, kenapa hana taknak dengar cakap mak hana. Kenapa hana taknak mandi lepas balik sekolah? Kan mak dah marah..", saya menegur anak saudara saya (belah suami).

"Ala cik jah, bukan hana sengaja taknak mandi. Hana cuma rasa maaalllaaassss sangat! Tapi kan cik jah, hana rasa kalau hana jadi anak cik jah mesti hana rajin mandi!", jawab Hana yg pada masa tu berusia 5 tahun.

Situasi 2 :

"Hisshhh!! Apa ni bukak duit raya depan cik jah! Kalau orang bagi duit raya, jangan buka sampul duit raya tu depan orang yang bagi.. Tak baik! Kalau nak tengok, masuk bilik atau pergi jauh2 dulu baru tengok dapat berapa dalam sampul tu. Pastu jangan cakap kuat2 orang tu bagi berapa! Tak elok tau!", saya menegur anak-anak saudara saya (belah suami) di Kelantan pada Hari Raya yang lepas.

"Eh Wapin! Kan cik jah kata jangan bukak duit raya depan orang.. Tak baik! Jom kita masuk bilik!", seperti biasa Hana mengetuai kumpulan kecil sepupu-sepupunya itu.. Sekarang Hana berumur 6 tahun.

Membaca artikel terbaru di saifulislam.com mengenai anak-anak membuatkan saya terkenang kembali perlakuan saya sebelum ini terhadap anak buah. Saya tidak mempunyai Phd mahupun ijazah atau diploma ataupun sijil dalam pendidikan awal anak-anak. Saya hanya menurut firasat saya untuk menegur dan bercakap dengan anak-anak kecil ini. Kadangkala kalau melihat mereka menangis tanpa henti saya akan memujuknya dengan kata-kata, "Kenapa menangis? Kucing mati,cicak kat rumah mati, ke ayam mati? Meh cerita dengan cik jah..." barulah mereka tersenyum dan bercakap apa punca dia menangis..

Seni mendidik anak-anak memang pelbagai. Saya tidak mengehadkan untuk hanya mendidik anak-anak saya sahaja tapi saya mengambil pendekatan setiap anak orang lain apatah lagi anak dari keluarga sendiri merupakan jua anak kita. Saya menganggapnya sama.

Sebolehnya saya memang ingin mengikut cara emak saya mendidik kami sewaktu kecil dahulu. Tapi mungkin tidak 100%. Ada ketikanya saya perlu mengubah dengan sedikit kreativiti dalam mendepani anak-anak gen x yang pelbagai sifat ini. Tapi asasnya, menegur dan bercakap dengan anak dengan sentuhan.

Di setiap perilaku anak kecil yang semakin membesar dengan pengaruh persekitaran yang bermacam ini adakalanya anak-anak kita gagal mencerminkan siapa ibubapanya. Kerana anak adalah cerminan ibubapa. Di sinilah tugas ibubapa untuk menegur jika 'pembetulan' harus dibuat sebelum ianya dibiarkan menjadi sikap yang negatif.

Kecil tau besar si anak itu tidak boleh dijadikan alasan. Bagi saya, anak sekecil 6 bulan sekalipun mampu memahami apa yang ibubapanya maksudkan. Saya pernah juga buat eksperimen pada Fathi, anak saya. Kadangkala suami pun menggelengkan kepala kerana dia melihat saya seperti 'bercakap seorang diri'. Kenapa?

Kerana saya tidak mahu keputusan yang segera!  Maksudnya, saya menegur dengan niat mengajar anak bukan untuk dia berhenti melakukan gejala negatif itu dengan serta merta. Esok-esok dia akan buat lagi.. Of course! Tapi secara tanpa sengaja kita telah menanamkan arahan-arahan tertentu ke dalam pemikiran si anak sejak kecil lagi. Kelak, bila dah besar pasti dia pernah merasai yang apa dibuatnya dahulu pernah ditegur oleh ibunya. Dejavu. Bukan bermaksud saya ingin memprogramkan kepala anak ni dengan segala arahan. Tidak sama sekali! Hanya menegur dan bercakap dengan si anak seperti jangan koyakkan buku, jadi macam abah suka baca buku. Dan gosok-gosok buku depan anak. Dia memanglah tak faham tapi dia memerhati! Sesuatu yang dia lihat pasti terakam di dalam mindanya..

Tapi di akhirnya saya terpaksa akur bahawa bagaimana seorang ibubapa mengajarnya sekalipun, sampai masanya kelak dia pasti berubah. Menjalani dan mendepani kehidupan kanak-kanak dewasa, remaja, seterusnya belia, pasti mereka akan berubah dan berkomunikasi terhadap siapa dan bagaimana persekitarannya turut berubah. Di waktu itu, mungkin ayat sebegini akan terkeluar dari mulut ibubapa. ' Habis dulu2 penat aku ajar, dia buat lagi atau dia dengar cakap kawan dia lagi!!'... Ketika itu, ibubapa mana pun akan berputus asa jika mengahdapai anak yang cepat terpengaruh sebegini. Kalau baik takpe..

Artikel dalam saifulislam seterusnya, termasuk komen pembacanya yang membuatkan saya terfikir sebegitu. Walau sehebat mana tahap pembelajaran anak di waktu kecilnya, pandai mengaji dan membacanya sehingga anak kita mampu menguasai bermacam bahasa seterusnya menunjukkan betapa pintarnya anak kita sedari kecil lagi, namun saya suka untuk melihat lebih jauh ke depan lagi. Bahawa pembelajaran anak-anak itu berlaku sepanjang masa dan mereka akan berubah mengikut tahap umur mereka.

Kenapa saya katakan begitu walhal saya tidak mempunyai pengalaman sebegitu lagi?

Baru-baru ini saya ditemukan semula dengan kawan lama saya. Dahulu, di sekolah dialah juara segala musabaqah al-Quran, taranum dan nasyid. Suaranya sangat sedap! Dia menjadi contoh pelajar berjaya di sekolah kerana namanya sentiasa mengharumkan nama sekolah di peringkat tertinggi. Saya terkejut dengan perubahannya sekarang. Tapi, tidaklah sampai mengeji atau memandang rendah padanya di atas perubahannya yang sangat ketara itu. 360 darjah perubahan itu!

Yang saya terfikir, apa yang menyebabkannya berubah sebegitu sekali walhal ibubapanya saya rasakan sudah sehabis baik memberikan pendidikan yang sempurna kepadanya suatu masa dahulu. Satu sekolah rasa berbangga dengannya. Namun, saya pasti ada sesuatu menyebabkannya berubah. Mungkin hanya luaran saya berharap.

Sama juga seperti orang lain. Kita semua sama. Kita semua berubah. Apa yang paling penting, bagaimana pegangan kita ketika melalui di setiap persimpangan usia,  pastikan bahawa di akhir hayat kita adalah yang terindah. Kembali kepada ajaran Islam sebenar. Kerana tidak apa di mana kita sekarang tapi yang paling penting di mana kita berakhir.

Kesimpulannya, seni mendidik anak ini perlulah disertai doa. Kerana itu, dalam menyediakan pendidikan anak-anak ke tahap sehebat mana sekalipun, doa pada setiap solat itu akan mengikat si anak hingga bILA2.

Rabbana hablana min azwajina wa zurriyyatina qurratua'yun waj'alna lilmutaqina imaama.

Ringkas tapi sering dilupakan. Emak selalu mengingatkan saya agar membaca doa untuk anak-anak sendiri. Ini kerana kami juga seringkali tersalah langkah dalam meniti usia remaja dan dewasa ini tapi di akhirnya saya diberi kesempatan lagi untuk membetulkan semula kesalahan dan menetapkan iman saya kepada ajaran ibubapa saya sebagai seorang Islam. Saya percaya bahawa doa si ibulah yang boleh menyelamatkan si anak agar tidak berterusan membuat kesalahan. Asal sahaja tidak menyisihkan si anak kerana kurang kepandaiannya atau membandingkan si anak dengan anak orang lain, mahupun mengharapkan kesempurnaan anak tanpa mengandaikan kelak pasti mereka juga akan melakukan kesalahan, itu sudah cukup bagus bagi seorang bergelar anak. Kerana kita juga tidak sempurna sebagai ibubapa.

Nota : Terima kasih ustaz hasrizal kerana memberikan saya idea untuk menulis kembali! ;)

Post new comment

  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Allowed HTML tags: <a> <em> <strong> <cite> <code> <ul> <ol> <li> <dl> <dt> <dd> <img> <p>
  • Lines and paragraphs break automatically.

More information about formatting options